PENDAHULUAN
Asas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan
dan pergerakan harian. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak berasa senang
dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan ekspresi diri.
Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik, memainkan
peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak.
Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya
menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, di
samping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid mendapat
pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid Tahap 1
khasnya, aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu
pertumbuhan kecerdasan kinestetik malahan berperanan membantu mereka
memahami konsep muzik yang abstrak. Dari aspek sosialisasi, aktiviti
menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi
kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan
nilai-nilai murni. Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya
masyarakat Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa.
Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam
muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri
murid.
Untuk merealisasikan potensi kurikulum Pendidikan Muzik KBSR
pelaksanaannya harus mengambil kira dan meneroka pelbagai pendekatan,
strategi dan teknik yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran
seperti teori Pelbagai Kecerdasan, Kajian Masa Depan, Pembelajaran
Masteri, teknik Berfikir Secara Kritis dan Kreatif, dan Kemahiran Belajar.
MATLAMAT
Pendidikan Muzik bertujuan melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan
dan kefahaman yang asas tentang muzik, mempunyai kemahiran minimum
dalam penghasilan muzik, berpotensi dalam aspek kreativiti dan inovasi,
dapat menghargai dan menikmati estetika muzik dan dapat mengamalkan
nilai murni.
OBJEKTIF
Setelah mengikuti pelajaran Pendidikan Muzik KBSR, murid dapat:
1. mengetahui dan memahami konsep unsur-unsur asas muzik dan
terminologi muzik
2. mengetahui dan memahami konvensi penulisan muzik
3. membaca dan menulis notasi muzik
4. mengetahui dan memahami teknik menyanyi
5. memperkembangkan kemahiran menyanyi dengan amalan teknik
yang betul
6. mengetahui dan memahami teknik bermain alat muzik
7. memperkembangkan kemahiran bermain alat muzik dengan
teknik yang betul
8. memperkembangkan ekspresi diri dan daya kreatif
9. memperkembangkan daya penghargaan estetik terhadap karya
dan persembahan muzik
10. menghargai pelbagai jenis muzik Malaysia serta budaya yang
berkaitan dengannya
11. mengamalkan nilai kerjasama dalam pasukan, sikap positif dan
ingin mencuba
ORGANISASI KANDUNGAN
Sukatan Pelajaran Pendidikan Muzik KBSR mengandungi program
pembelajaran untuk enam tahun persekolahan iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun
6. Isi kandungannya memberi tumpuan kepada elemen pengetahuan dan
kemahiran di samping mengambil kira penerapan nilai.
Kurikulum ini melihat perkembangan diri murid dari sudut penghayatan estetik
dalam seni muzik. Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, mata
pelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya memperkembangkan
domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras dengan
itu, sukatan pelajaran ini digubal untuk membimbing murid ke arah
menghayati dan menikmati muzik secara intelektual.
Oleh yang demikian, kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Muzik KBSR
disusun berdasarkan aspek-aspek berikut:
i. Persepsi Estetik
ii. Pengalaman Muzikal
iii. Ekspresi Kreatif
iv. Penghargaan Estetik
Setiap aspek seterusnya diikuti dengan ceraian aspek yang mengandungi
faktor-faktor yang lebih spesifik sebagai tumpuan pengajaran dan
pembelajaran.
Susunan keempat-empat aspek tersebut bukanlah suatu hierarki
yang tetap. Susunan sedemikian adalah semata-mata bagi kemudahan
mengorganisasikan kandungan sukatan pelajaran.
No comments:
Post a Comment